Alor Setar Sekarang
Pembangunan awal di pusat bandar Alor Setar telah menjadikan bandar Alor Setar kini penuh sesak dengan pelbagai jenis bentuk bangunan dan kemudahan frasarana yang lain seperti jalan raya yang sistematik. Alor Setar mengalami pembangunan yang pesat selepas Perang Dunia II. Kebanyakan bangunan-bangunan yang terdapat di sekitar bandar ini telah dibina selepas negara mencapai kemerdekaan. Pada amnya, bangunan-bangunan lama yang wujud adalah tertumpu di kawasan pembangunan awal Alor Setar iaitu di sekitar kawasan Pekan Melayu, Pekan Cina, Jalan Langgar dan juga di Jalan Raja.
Ciri-ciri bahan binaan bangunan-bangunan di pusat bandar dapat menggambarkan masa dan zaman ianya telah dibina. Bangunan-bangunan lama di kawasan pembangunan awal kebanyakannya terdiri daripada bangunan kayu, campuran kayu dan batu, yang boleh dianggap sebagai bangunan separuh kekal. Langkah pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan pemuliharaan dan pemeliharaan terhadap bangunan-bangunan ini menjadikan ia kekal menarik sehingga ke hari ini.
|