Pengenalan
Peranan ulama sememangnya penting dalam tamadun sesebuah masyarakat dan bangsa. Mereka dapat membentuk peribadi umat yang unggul, muslimin dan muslimat yang beriman dan bertakwa, anggota masyarakat yang prihatin dan rakyat yang bertanggungjawab serta peka kepada pembangunan dan kemajuan negaranya.
Secebis hadis yang bermaksud "ulama adalah pewaris nabi-nabi", sesungguhnya sentiasa menjadi ingatan kita apabila mengenang peranan dan jasa mereka yang telah pergi. Mereka bukan sekadar meninggalkan nama untuk kenangan malah meninggalkan cara hidup, citarasa, amalan dan yang lebih penting mewariskan ilmu bukan sahaja kepada murid-murid mereka tetapi juga kepada masyarakat yang membaca karya-karya mereka.
Ulama silam telah banyak menabur jasa dalam usaha membina, menyubur dan menyumbangkan ilmu melalui sistem pendidikan pondok. Dalam perkembangan dan penyebaran agama Islam, pendidikan pondok memainkan peranan yang sangat besar sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang penting dan maju. |