CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Permainan Tradisional
- Pengenalan
Penghargaan
Pengenalan

Keadaan sosial masyarakat Melayu telah berubah mengikut peredaran masa. Jika dahulu masyarakat banyak mempengaruhi corak kehidupan yang kuno, kini segala-galanya sudah berubah. Berlakunya perubahan zaman, banyak nilai-nilai baru yang dibawa ke dalam kehidupan kita misalnya cara kita bergaul, menguruskan masa, beriadah dan berhibur semuanya berlainan berbanding zaman nenek moyang kita. Sungguhpun demikian, sistem sosial masyarakat kini adalah berlandaskan masyarakat dahulu.

Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ini termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu diperkukuhkan dan dipereratkan dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan.

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, musim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Sudah menjadi kemestian, sewaktu turun ke sawah atau ke laut, seluruh tenaga ditumpukan kepada pekerjaan. Mencari rezeki, mesti bersungguh-sungguh. Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba, pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan.

Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian, permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Dalam persekitaran yang moden, khususnya di bandar, permainan tradisional bukan sahaja tidak praktis tetapi juga sudah hilang daya tarikannya. Tiada pihak yang mahu warisan nenek moyang kita itu pupus. Oleh sebab itu, kerajaan melalui agensi-agensi kerap mewujudkan pesta kebudayaan dan permainan tradisioanl. Selain daripada menjaga warisan, usaha demikian dapat dijadikan tarikan kepada pelancong yang datang melawat negara kita. Hakikatnya bahawa penerbangan Malaysia memilih wau kucing sebagai lambangnya sudah cukup untuk membayangkan betapa warisan itu dititikberatkan.

Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibubapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini.

Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.

 
 
   
 
 
     
 
     
19 March 2024