CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Pameran Maya Bulan Mac 2024
- Penanaman Padi Secara Tradisional di Kedah -

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk membersihkan rumput pada batas-batas petak sawah dan juga di tapak semaian.

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk menarik kapar di dalam petak sawah ke tepi dan juga untuk menarik badai batang pasang semasa penyediaan tapak semaian.

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan selepas kerja-kerja menggala (bajak) sawah bertujuan untuk menghalus, merata dan memecah ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya dari rumput rampai.

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk menggala (bajak) sawah dengan ditarik oleh seekor kerbau.

Keri, Tajak dan Sisir Kapar

Keri dan Tajak digunakan untuk menajak tanah supaya batas sawah menjadi rata. Manakala sisir kapar digunakan untuk mencakar tanah supaya menjadi lebih rata.

Tenggala
Untuk membajak sawah

Diperbuat daripada kayu halban jenis keras. Alat ini terbahagi kepada dua iaitu Tenggala Perlis dan Tenggala Cina. Tenggala-tenggala ini ditarik oleh seekor kerbau dan ada yang ditarik oleh dua ekor kerbau atau lembu.



Penyediaan Petak Semaian (Bekas Semai)

Kerja-kerja penyediaan petak semaian (bekas semai) sedang dijalankan.Petak semai merupakan tempat pembiakan benih padi untuk dijadikan semai (anak padi) sebelum dipindahkan ke petak sawah yang disediakan.

Sabit

Untuk memotong rumput-rumput yang tumbuh di atas batas sawah. Sabit ini diperbuat daripada besi.

Penimba Air

Diperbuat daripada tong minyak dan berhulukan kayu panjang serta berkaki tiga. Ia akan digunakan untuk menimba air masuk ke dalam petak semaian.

Bakul Mengkuang

Digunakan untuk membawa biji benih padi ke tapak semaian semasa hendak menabur.
Ia diperbuat daripada mengkuang yang dianyam rapi. Bagi peladang-peladang, bekas-bekas lain seperti tin tidak boleh digunakan untuk mengisi benih oleh kerana dipercayai boleh menghilangkan semangat padi.

Menggala (Membajak Sawah)

Kerja-kerja mengggala (bajak) sawah sedang dilakukan oleh seorang petani dengan menggunakan tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau.


Kerbau

Boleh dianggap sebagai jentera dalam proses membajak sawah. Ia akan bertindak sebagai penarik tenggala.

Sisir Besi

Peranan dan fungsinya seperti sisir kayu iaitu untuk menghalus, merata dan memecah ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya daripada rumput rampai.


Sisir Kapar

Untuk menarik kapar di dalam petak sawah. Kebiasaannya, peralatan ini digunakan untuk menarik kapar di tempat-tempat yang tidak boleh dimasuki oleh kerbau. Tempat-tempat tersebut ialah kawasan dalam dan penjuru petak sawah. Sisir kapar lebih kecil daripada sisir besar. Selain membuang kapar ia juga dapat meratakan tanah sawah.

Tenggiling

Untuk memecahkan tanah yang berketul dan meratakan tanah selepas disisir. Proses meratakan tanah belum begitu baik tanpa menggunakan tenggiling.

Diperbuat daripada kayu yang berbentuk seperti belimbing segi. Panjangnya antara 5 hingga 7 kaki dan bergaris pusatnya 6 inci. Kerbau diperlukan untuk menjalankan Tenggiling.

Mencabut Semai

Kerja-kerja mencabut semai sedang dilakukan oleh kaum wanita

Semai-semai

Semai-semai yang telah diketulkan di himpun, kemudian diangkat ke petak-petak sawah yang disediakan untuk proses menanam padi


Pengandar semai

Alat teknologi persawahan tradisional ini digunakan untuk mengangkut/memindahkan ketul-ketul semai dari petak semaian ke petak-petak sawah untuk ditanam. Alat ini juga dikenali sebagai pengandar rumput

Pengandar Semai

Pengandar akan digunakan untuk mengangkut semai dari tapak semaian ke sawah. Selalunya ia diperbuat daripada batang kayu yang keras.

Menanam padi

Kerja-kerja menanam padi dengan menggunakan tangan sedang dijalankan

Menanam Padi

Menanam padi cara lama dilakukan oleh kaum wanita dengan menggunakan alat Kuku Kambing

Kuku Kambing

Ia digunakan untuk menanam padi. Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Sementara di bahagian hujung besi terdapat cabang seperti kuku kambing.

Terendak

Digunakan sebagai tudung kepala sewaktu bekerja di sawah untuk berlindung daripada cahaya matahari

Diperbuat daripada buluh yang disulam begitu menarik sekali. Biasanya dipakai oleh wanita.


Menjaga Padi

Kerja-kerja penjagaan padi sedang dilakukan.

Menyulam Anak Padi

Kerja-kerja menyulam (mengganti) anak padi sedang dijalankan.

Renggam

Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Ia akan digunakan untuk mengetam buah padi yang akan dijadikan benih.

Gemai (Gemal) padi

Tangkai-tangkai padi diketam akan dihimpun dan dijadikan gemai. Gambar menunjukkan kerja-kerja membuat gemai-gemai padi sedang dilakukan.


Mengerat padi

Kerja-kerja mengerat padi sedang dijalankan.

Pengiau

Hulunya diperbuat daripada ranting kayu yang bengkok dan melengkung manakala mata pisau mengerat dipasak masuk ke ranting tersebut . Ia akan digunakan untuk menuai padi yang berkeadaan rebah

Cekam

Ia diperbuat daripada ranting kayu yang bercabang dan diasah tajam. Ia juga digunakan untuk mengangkat pokok padi yang rebah sebelum proses menuai.


Mengetam padi

Kerja-kerja mengetam padi sedang dijalankan

Pisau mengerat

Diperbuat daripada besi dan matanya bergerigi serta berhulukan kayu. Bentuknya melengkung seperti huruf C dan ia digunakan untuk mengerat padi.

Dong

Alat ini digunakan semasa kerja-kerja menghirik (mengirik) dijalankan bertujuan untuk meleraikan buah padi daripada tangkai.

Tong padi dan Layar digunakan untuk memukul padi

Kedap padi

Gambar ini menunjukkan kedap-kedap padi diikat sebelum dipukul ke dalam tong.


Memukul padi

Kerja-kerja memukul padi sedang dijalankan

Anor (Anok) dan Kereta Kerbau

Merupakan alat pengangkutan padi yang digunakan dengan bantuan tenaga kerbau untuk membawa hasil padi ke rumah



Menghuroi padi

Kerja-kerja menghuroi padi sedang dijalankan


Nyiru Jarang

Ia juga merupakan anyaman buluh tetapi jarang dan mempunyai kaki yang bercabang tiga. Nyiru jarang digunakan untuk membersihkan padi.

Menjemur padi

Padi-padi yang telah dibersihkan (dihuroi) akan dijemur sehingga kering sebelum disimpan di dalam jelapang padi.

Cakar Bara

Diperbuat daripada kayu dan ia digunakan untuk mencakar padi dijemuran.


Menganginkan padi dengan menggunakan Nyiru Kerap bagi mengasingkan padi berisi dengan hampa padi.


Nyiru Kerap

Digunakan untuk menampi padi bagi mengeluarkan hampa padi.

Kipas Pengangin Dan Penguroi Padi

Untuk mengasingkan antara hampa dengan padi yang elok untuk dibuat benih.

Jelapang Padi

Alat ini digunakan untuk menyimpan buah-buah padi yang telah dibersihkan (dihuroi)

Kepok

Alat ini berbentuk bulat. Dibuat daripada buluh. Ianya digunakan untuk menyimpan ketul-ketul padi (gemai padi)

Lesung hindik kaki dan lesung tangan

Alat-alat ini digunakan untuk menumbuk buah padi bagi menghasilkan beras. Beras yang dihasilkan bercampur dengan antah , sekam dan lain-lain.


Proses menumbuk padi dengan lesung tangan

Lesung Kisar

Untuk Mengisar padi. Diperbuat daripada buluh atau kayu. Raga buluh dibuat untuk mengisi tanah busut yang telah dicampur garam dan dihentak dengan kuat untuk menahan mata pengisar. Mata pengisar daripada kayu bakau dibelah nipis lebih kurang 3-4 mm. Panjang mata pengisar lebih kurang 4 inci (10 cm).


Penampi Padi

Penggunaan alat ini bertujuan untuk memisahkan biji beras dari kulitnya selepas ditumbuk dan dikisar setelah memusingkan kipas di dalamnya. Angin yang dihasilkan melalui kipas tersebut akan menerbangkan kulit biji padi yang lebih ringan dari biji beras. Disinilah wujud proses pengasingan di mana biji beras akan keluar daripada corong pertama (besar) manakala kulitnya keluar melalui corong kedua (kecil)

Menampi

Selain menggunakan kaedah mesin menampi padi, padi yang telah ditumbuk dan dikisar juga boleh dipisahkan biji beras dan kulit dengan kaedah menampi menggunakan nyiru atau badang yang diperbuat daripada buluh dan berbentuk bulat. Melalui kaedah ini kulit biji padi akan keluar dan yang tinggal di dalam nyiru tersebut ialah beras.



Gantang, Cupak dan Kepoi

Peralatan ini digunakan untuk menyukat padi atau beras

 
Klik untuk keterangan lanjut
 
     
19 March 2024