CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Penangkapan Ikan Air Tawar Cara Tradisional
- Pengenalan
Penghargaan
Pengenalan

Penangkapan ikan air tawar atau ikan darat secara tradisional merupakan satu warisan yang telah dipraktikkan oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu hingga ke hari ini. Selain daripada sumber rezeki bagi memenuhi keperluan harian, ia juga berperanan sebagai aktiviti mengisi masa terluang dengan membuat peralatan tangkapan dan keluar menangkap ikan.

Peralatan seperti bubu, tangkul, jala, tuar, rawai, sempila, belat, bok mengelau, pelompat, serampang dan sebagainya merupakan alat penangkapan ikan yang mempunyai ciri-ciri tangkapan tersendiri. Bentuk dan saiz alat ini bergantung kepada jenis ikan yang hendak ditangkap dan tempat penangkapan ikan.

Kawasan-kawasan yang menjadi perhatian penangkapan ikan ialah di mana terdapat banyak ikan-ikan berkumpul seperti di lubuk-lubuk atau di laluan ikan bermain arus ke hulu atau ke hilir sungai. Tempat-tempat strategik seperti di saluran-saluran air yang dialir keluar atau masuk dari sungai ke sawah atau sebaliknya yang juga dipanggil alor, gelung air, parit tali air dan sebagainya. Di dalam kawasan sesebuah bendang atau sawah itu sendiri juga menjadi tumpuan penangkap ikan darat terutama di kawasan dalam yang dipanggil telaga.

Tangkapan dilakukan ketika bendang atau sawah sedang dibajak dan selepas menuai padi dengan cara mengagau dan menyerkap. Masa yang menyeronokkan menangkap ikan ialah ketika angin bertukar ke musim timur. Ikan dikatakan jenuh atau banyak dan sangat galak ketika ini.

Bagi penggemar-penggemar ikan darat, nama-nama ikan ini tidak asing lagi bagi mereka seperti keli, haruan, toman, puyu, sepat, belida, kelah, lampam, seberau dan sebagainya. Ikan-ikan ini bukan sahaja sedap dimakan dan berprotein malah ada digunakan untuk tujuan perubatan. Spesis-spesis ikan ini masih lagi kedapatan hingga kini.

Peralatan tangkapan ini dibuat mengikut kemahiran atau kepakaran sendiri tanpa melibatkan kos dengan menggunakan bahan-bahan tempatan yang sedia ada terdapat di kampung-kampung seperti buluh, rotan dan akar kayu. Lazimnya ia dibuat untuk kegunaan individu dan tidak dikomersilkan. Dari semasa ke semasa peralatan menangkap ikan tradisional ini diubahsuaikan dengan keadaan setempat beserta bahan-bahan yang mudah diperolehi.

Kebaikan alatan ini selamat digunakan bagi mengawal spesis ikan daripada pupus iaitu ikan tertentu sahaja yang ditangkap dengan jumlah yang kecil sekadar keperluan. Tangkapan ikan tradisional ini merupakan satu kaedah yang baik untuk memelihara serta pengurusan sumber perikanan.

 
 
   
 
 
     
 
     
03 December 2024