CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Antara Sekolah-sekolah Tertua di Kedah
- Pengenalan
Bibliografi
Penghargaan
Pengenalan

Pendidikan merupakan unsur yang paling penting untuk membentuk sebuah negara yang maju, bersatu padu, stabil dan progresif. Berteraskan kenyataan tersebut, sistem pendidikan telah berkembang pesat di Tanah Melayu. Fenomena ini turut belaku di Negeri Kedah.

Sistem pendidikan di Negeri Kedah ini sebenarnya telah pun wujud sebelum tahun 1900 lagi. Ia bermula dengan kewujudan sekolah-sekolah pondok yang memberi didikan agama Islam. Negeri Kedah sendiri terkenal dengan ramainya tokoh ulama malahan di antara tahun 1850 sehingga 1935, terdapat lebih 60 orang ulama sama ada anak tempatan mahu pun ulama-ulama dari luar misalnya Kelantan, Patani dan Sumatera. Di antara tokoh ulama yang terkenal ialah Tuan Hussain Kedah dan Haji Wan Sulaiman bin Haji Wan Siddik. Kewujudan sekolah-sekolah pondok inilah yang telah merintis jalan ke arah wujudnya sekolah-sekolah Melayu di Negeri Kedah ini. Sejauh yang dapat dikesan, Sekolah Jawi Padang Lepai merupakan sekolah pertama yang wujud iaitu di sekitar tahun 1861.

Sekolah-sekolah Melayu di Negeri Kedah ini telah mampu berkembang dengan pesatnya adalah kerana dorongan yang kuat daripada Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Aziz, Raja Muda Kedah (1896-1907). Pada masa inilah munculnya beberapa buah sekolah seperti di Kulim (1896), di Jalan Baharu, Alor Setar (1897) dan di Yan (1900). Beliau yang juga selaku Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama pada tahun 1905 telah memberi tanggungjawab membangunkan sekolah-sekolah kepada Pegawai-pegawai Daerah dan Pembesar. Pada tahun 1907, Ku Yahaya bin Ku Zainol Abidin telah dilantik sebagai Penguasa Pelajaran Kedah yang pertama. Perlantikannya ini adalah bertujuan untuk menguruskan pembukaan sekolah-sekolah di mana perlu di negeri ini.

Apabila Inggeris mula memerintah negeri ini pada tahun 1909, perkembangan pendidikan di Negeri Kedah didapati semakin pesat. Ketika ini Bahasa Inggeris amat diutamakan. Sehubungan itu munculah sekolah-sekolah Inggeris seperti Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1908 di Alor Setar. Bagaimanapun masalah yang terpaksa dihadapi ialah kurangnya sambutan daripada orang-orang Melayu. Ini kerana Pelajaran Agama Islam tidak diajar. Untuk mengatasi masalah ini pelajaran agama mula diadakan dan ia ditadbir oleh Jabatan Agama Islam. Pelajaran biasa diadakan di sebelah pagi sementara pelajaran agama di sebelah petang. Pada masa ini juga pelajaran bercampur di antara lelaki dan perempuan tidak di benarkan. Untuk mengatasi masalah ini, sebuah sekolah perempuan telah dibuka iaitu di Jalan Baharu pada 23hb November 1907.

Bagaimanapun pendudukan Jepun pada tahun 1940 telah mengubah senario pendidikan di Negeri Kedah pada masa itu. Apa yang jelas pada masa perang ini ialah perkembangan sekolah telah terbantut. Bilangan sekolah tidak bertambah sebaliknya jauh merosot jika di bandingkan zaman sebelumnya.

Apa yang dapat dikesan, pada zaman Jepun ini hanya muncul dua atau tiga buah sekolah sahaja misalnya di Bandar Baharu sebuah sekolah rakyat di Sungai Kechil Ulu telah diwujudkan pada tahun 1943. Di Padang Terap, Penghulunya telah mengasaskan Sekolah Melayu Tandop dan di Kota Setar sebuah sekolah rakyat telah didirikan di Kampung Tok Keling. Bilangan sekolah-sekolah Melayu sama ada yang dibantu oleh kerajaan ataupun yang ditanggung sepenuhnya oleh rakyat menjelang Perang Dunia Kedua telah merosot. Satu demi satu sekolah telah ditutup. Penutupan sekolah ini berkaitan dengan beberapa hal tertentu misalnya di selatan Negeri Kedah beberapa sekolah telah digunakan sebagai markas tentera Jepun dan ini mengakibatkan kemusnahan kepada bangunan dan harta benda sekolah.

Di daerah Kuala Muda, guru besar Sekolah Kota Kuala Muda, isteri beliau dan seorang guru penolong telah terkorban akibat ledakan bom. Di daerah Sik, hanya Sekolah Melayu Sik yang terus dibuka sementara di daerah Yan hanya enam buah sekolah yang masih dibuka manakala yang lainnya terpaksa ditutup. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan dari segi bilangan sekolah ini. Antaranya ialah sikap pemerintah Jepun yang tidak memberi perhatian kepada pelajaran. Pembinaan sekolah-sekolah baru juga tidak digalakkan. Faktor kedua adalah berkaitan dengan ekonomi di mana kejatuhan ekonomi menyebabkan rakyat lebih mementingkan makanan daripada memberi pelajaran untuk anak-anak mereka. Ketiadaan guru juga merupakan salah satu faktor kemerosotan sekolah-sekolah ini. Ada guru yang enggan meneruskan tugas masing-masing kerana pendapatan yang rendah dan ini sudah tentu tidak mencukupi untuk menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan pada zaman selepas perang. Bagaimanapun satu perkembangan yang jelas pada zaman Jepun ini ialah pelajaran campuran di antara murid lelaki dan perempuan telah dimulakan. Mulai zaman ini sekolah yang dulunya khas untuk pelajar lelaki telah menerima kemasukan pelajar perempuan sedangkan sekolah-sekolah perempuan terus mengekalkan status keperempuanannya. Selepas pemerintahan Jepun, pelajaran campuran ini terus dikekalkan. Selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945 kerajaan Inggeris kembali menguasai negeri ini. Sekolah-sekolah kerajaan dibuka semula mengikut jadual sebelum perang. Bilangan sekolah juga telah bertambah tahun demi tahun. Sehingga tahun 1953, terdapat 203 buah sekolah iaitu sekolah aliran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Sehingga pertengahan 1950an darjah yang paling tinggi ialah darjah lima. Peperiksaan naik darjah juga di adakan pada setiap akhir tahun. Di antara pelajaran yang diajar ialah Rencana, Bahasa, Congak, Ilmu Alam dan sebagainya.

Selepas merdeka, Sekolah Rakyat Bantuan Penuh Kerajaan dan sekolah-sekolah Rakyat Persendirian diambil-alih secara beransur-ansur oleh kerajaan. Pada tahun 1961, diwujudkan satu Dasar Pelajaran Kebangsaan, yang meliputi seluruh Persekutuan Tanah Melayu termasuk Negeri Kedah. Dasar ini termaktub dalam Akta Pendidikan 1961. Akta ini adalah berdasarkan Laporan Rahman Talib 1960 dan Laporan Razak 1965. Satu kesan penting yang dapat dilihat ialah dasar ini membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran hingga ke sekolah menengah sama ada di aliran Melayu ataupun Inggeris. Ini berlaku pada tahun 1964, apabila Peperiksaan Masuk Ke Sekolah Menengah dihapuskan. Hasilnya berlaku pertambahan pesat kemasukan pelajar ke sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah.

 
 
   
 
 
     
 
     
19 March 2024