CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Antara Tempat-tempat Bersejarah di Kedah
- Kedah Dari Segi Sejarah
Mula 1-1 Akhir

Kedudukan tanah Negeri Kedah iaitu daratan di sebelah utara bersempadan dengan Negeri Singgora dan Negeri Perlis. Di sebelah matahari naiknya bersempadan dengan Negeri Chenak hingga ke Yala dan Negeri Raman dalam pemerintahan kerajaan Siam. Di sebelah selatannya pula bersempadan dengan Negeri Perak. Perenggan di sebelah baratnya ialah Sungai Sanglang yang menjadi sempadan Perlis dan Kedah. Manakala Sungai Muda memisahkan Kedah dengan Seberang Prai. Menumpukan ke utara tebing Sungai Kerian menjadi sempadan antaranya dengan Negeri Perak.

Kedah adalah negeri yang tertua di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri yang masih wujud. Kedah juga merupakan negeri yang tertua di Asia Tenggara. Banyak negeri yang tidak terbilang di rantau ini telah muncul dan lenyap. Ini adalah kerana kekuatan sistem perikatan politik yang diamalkannya dengan jaya semenjak beribu-ribu tahun yang lampau. Sistem perikatan ini membolehkan negeri-negeri kecil menyembah negeri-negeri yang lebih besar untuk mendapat sedikit kebebasan dan juga naungan apabila diserang oleh negeri-negeri asing.

Kedudukan Kedah yang strategik di sebelah utara semenanjung telah menjadikannya perhatian kuasa-kuasa luar untuk menjajah dan menjalinkan hubungan diplomatik terutama dari segi perdagangan. Setelah Kedah menjadi pelabuhan utama maka bermulalah kemasukan budaya asing di Kedah. Sebahagian besar kebudayaan Melayu adalah campuran kebudayaan Hindu di samping pengaruh-pengaruh lain seperti kebudayaan Arab, Parsi dan Barat.

Kesan-kesan awal telah ditemui di Bukit Choras, Sungai Merbok, Sungai Bujang, Kuala Muda, Bukit Meriam dan juga Cheruk Tok Kun (Seberang Prai). Di tempat-tempat tersebut terdapat candi-candi Hindu, bangunan-bangunan yang merupakan benteng atau kota-kota pertahanan dan lain-lain.

Hikayat Merong Mahawangsa menyebutkan bahawa seramai tujuh orang yang terawal merajai Kedah. Raja Kedah yang pertama ialah Merong Mahawangsa, diikuti oleh Merong Maha Pudisat, Raja Seri Mahawangsa, Raja Seri Maha Indera Wangsa, Raja Ong Maha Perita Deria (Raja Bersiung), Raja Phra Ong Maha Pudisat dan Raja Phra Ong Maha Wangsa yang kemudiannya bergelar Sultan Mudzaffar Shah.

Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula menceritakan raja-raja terawal memerintah Kedah seramai sembilan orang. Maharaja Durbar Raja sebagai raja Kedah yang pertama, diikuti oleh Maharaja Darja Putra, Maharaja Maha Dewa, Maharaja Kerma Darja, Seri Paduka Maharaja Kerma, Seri Paduka Maharaja Derma Raja, Seri Paduka Maharaja Maha Jiwa dan Seri Paduka Maharaja Durbar Raja. Raja yang kemudian sekali itu diberi gelaran Sultan Al-Mudzaffar Shah.

Berikut ini ialah nama-nama Sultan-sultan Negeri Kedah Darul Aman:

  1. Sultan Al-Mudzaffar Shah I
    531H - 575H bersamaan 1136M - 1179M
  2. Sultan Mu'adzam Shah
    575H - 598H bersamaan 1179M - 1201M
  3. Sultan Muhammad Shah
    598H - 643H bersamaan 1201M - 1236M
  4. Sultan Mazzil Shah
    643H - 679H bersamaan 1236M - 1280M
  5. Sultan Mahmud Shah I
    679H - 721H bersamaan 1280M - 1321M
  6. Sultan Ibrahim Shah
    721H - 775H bersamaan 1321M - 1373M
  7. Sultan Sulaiman Shah I
    775H - 826H bersamaan 1373M - 1422M
  8. Sultan Ataullah Muhammad Shah I
    826H - 877H bersamaan 1422M - 1472M
  9. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin I
    877H - 912H bersamaan 1472M - 1506M
  10. Sultan Mahmud Shah II
    912H - 953H bersamaan 1506M - 1546M
  11. Sultan Mudzaffar Shah II
    953H - 1011H bersamaan 1546M - 1602M
  12. Sultan Sulaiman Shah II
    1011H - 1035H bersamaan 1602M - 1625M
  13. Sultan Rijaluddin Muhammad Shah
    1035H - 1062H bersamaan 1625M - 1651M
  14. Sultan Muhyiddin Mansor Shah
    1062H - 1072H bersamaan 1651M - 1661M
  15. Sultan Dziauddin Mukarram Shah
    1072H - 1099H bersamaan 1661M - 1687M
  16. Sultan Ataullah Muhammad Shah II
    1099H -1110H bersamaan 1687M - 1698M
  17. Sultan Abdullah Al-Mu'adzam Shah I
    1110H - 1118H bersamaan 1698M - 1706M
  18. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I
    1118H -1121H bersamaan 1706M - 1709M
    Raja Bendahara (Pemangku Sultan)
    1121H - 1122H bersamaan 1709M - 1710M
  19. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Mu'adzam Shah II
    1122H - 1174H bersamaan 1710M - 1760M
  20. Sultan Abdullah Mukarram Shah II
    1174H - 1212H bersamaan 1760M - 1797M
    Tunku Dziauddin Raja Muda Kayang (Pemangku Sultan)
    1212H - 1219H bersamaan 1797M - 1803M
  21. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II
    1219H - 1259H bersamaan 1803M - 1843M
  22. Sultan Zainal Rashid Al-Mu'adzam Shah I
    1259H - 1270H bersamaan 1843M - 1854M
  23. Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah III
    1270H - 1297H bersamaan 1854M - 1879M
  24. Sultan Zainal Rashid Al-Mu'adzam Shah II
    1297H - 1299H bersamaan 1879M - 1881M
  25. Sultan Abdul Hamid Halim Shah
    1299H - 1362H bersamaan 1881M - 1943M
  26. Sultan Badlishah
    1362H - 1377H bersamaan 1943M - 1958M
  27. Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
    1377H bersamaan 1958M

Dari sini dapat dilihat Negeri Kedah mempunyai sejarah yang panjang dan salasilah keturunan raja-raja yang memerintah dengan tidak putus-putus selama lebih daripada 1,300 tahun semenjak dari zaman Merong Mahawangsa. Dalam masa tersebut Negeri Kedah telah merasai berbagai-bagai perubahan, peristiwa dan kemalangan tetapi disebabkan taat setia rakyatnya maka terselamatlah daripada segala ancaman yang mengganggu kemerdekaan.

Bibliografi
Penghargaan
 
 
   
 
 
     
 
     
28 July 2017