CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Tarian-tarian di Kedah
- Pengenalan
Bibliografi
Penghargaan
Pengenalan

Masyarakat Melayu kaya dengan pelbagai bentuk kesenian dan kebudayaan tradisional. Kekayaan hasil seni dan kebudayan masyarakat Melayu ini bukan sahaja dibangga-banggakan oleh masyarakat Melayu Malaysia malahan oleh masyarakat luar Negara. Oleh itu sewajarnya segala hasil seni budaya Malaysia dipelihara sebaik mungkin supaya kekal dan tidak luput ditelan zaman.

Pelbagai usaha boleh dilakukan atas kesenian serta kebudayan tersebut bagi memastikan minat orang ramai terhadap kesenian ini berkekalan serta lebih menarik lagi. Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum. Penduduk pelbagai kaum ini sudah tentu mempunyai pelbagai bentuk kebudayaan. Keadaan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa.

Kepelbagaian bentuk kebudayaan ini haruslah didedahkan kepada kanak-kanak sekolah sama ada di peringkat rendah atau menengah. Begitu jugalah dengan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi supaya mereka dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum lain. Kebudayaan tradisional ini akan menjadi lebih menarik jika ia dijadikan aktiviti persatuan serta diadakan pertandingan untuk menarik minat remaja tersebut.

Pelbagai unsur seni dan budaya Melayu tetap kekal walaupun telah menempuhi peredaran masa dan cabaran dunia moden. Hal ini disebabkan oleh sikap masyarakat yang tetap sayang akan ciri-ciri budaya di samping usaha pihak-pihak tertentu untuk terus menghidupkan dan memelihara unsur-unsur warisan ini.

Kebudayaan sesuatu masyarakat menjadi satu identiti. Oleh itu, adalah penting bagi generasi muda mengetahui serba sedikit pelbagai bentuk seni dan budaya yang diwarisi. Usaha penerapan budaya ini merupakan unsur-unsur budaya yang penting kerana pelajar merupakan generasi penyambung warisan.

Di antara kebudayaan tradisional masyarakat Melayu ialah seni tari. Seni tari mempunyai hubungan yang rapat antara manusia dengan alam. Setiap kaum di Malaysia mempunyai tariannya yang tersendiri. Tarian melambangkan tradisi sesuatu kaum. Dalam kebudayaan Melayu tarian merupakan salah satu warisan yang masih kekal hingga ke hari ini.

Tarian merupakan sejenis seni gerak yang halus. Setiap tarian mempunyai pergerakan yang khusus. Disebalik gerak tari yang ditonjolkan dengan lenggang-lenggok dan ayunan tangan yang lembut terdapat cerita menarik. Tarian dipersembahkan pada hari-hari keramaian untuk menambahkan kemeriahan dan juga menghiburkan hati.

Seni tari mempunyai hubungan yang rapat antara manusia dan alam. Orang Melayu telah menggunakan fenomena semulajadi seperti ribut petir, gempa bumi, letupan gunung berapi, kemarau, alunan gelombang di laut, deburan ombak di pantai, lenggang liuk daun kayu dan sebagainya. Ianya dijadikan motif dalam membentuk gerak dan lenggok tarian.

Beginilah bermulanya tarian dalam dunia Melayu lama daripada pergerakan ritual yang mudah kepada tarian rakyat dan tarian istana yang lebih kompleks dan halus. Tarian Melayu boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu drama tari, tarian istana, tarian rakyat dan tarian Melayu moden. Antara tarian-tarian Melayu yang popular hingga kini ialah tarian joget, ronggeng, zapin, tarian piring, tarian lilin dan sebagainya.

 
 
   
 
 
     
 
     
28 May 2017