CARI
Carian Lanjut
 
     
 
PERBADANAN
PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
 
     
Menteri Besar Kedah
- Pengenalan
Penghargaan
Pengenalan

Kedah Darul Aman merupakan sebuah negeri di Malaysia yang telah mengamalkan sistem pentadbiran yang tersendiri dan moden iaitu semenjak abad ke sembilan belas lagi. Pada ketika itu Kedah masih di bawah naungan Kerajaan Siam.

Sebelum jawatan Menteri Besar diperkenalkan, jawatan pembantu kepada Sultan dalam hal pentadbiran negeri dikenali sebagai Perdana Menteri. Sejak tahun 1870 lagi iaitu pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Wan Muhammad Saman telah dilantik sebagai Perdana Menteri di Negeri Kedah. Kemudian apabila tamat Perang Dunia Kedua dan apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, jawatan Perdana Menteri dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Menteri Besar. Memandangkan keadaan di Negeri Kedah ketika itu kurang stabil kesan daripada perang dan pengenalan Malayan Union oleh Inggeris, cara perlantikan Menteri Besar dikatakan berbeza dari semasa ke semasa.

Sebelum menjelang pilihanraya umum yang pertama, setiap pegawai tadbir yang pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai peluang untuk dilantik menjadi Menteri Besar. Apabila pilihanraya diadakan pada tahun 1955 iaitu dua tahun sebelum merdeka, pemilihan dalam melantik Menteri Besar dibuat berdasarkan 2/3 sokongan yang diperolehi oleh calon tersebut dalam mesyuarat Ahli Undangan Negeri dari parti yang menang dalam pilihanraya yang diadakan. Selain itu, Sultan sebagai ketua pentadbiran negeri mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pegawai tinggi kerajaan termasuklah Menteri Besar. Oleh yang demikian, pengesahan perlantikan seorang Menteri Besar mestilah mendapat persetujuan daripada Sultan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, cara perlantikan Menteri Besar di Kedah tidak banyak berubah sehingga kini dan ciri yang diutamakan ialah kecekapan dan pengalaman seseorang dalam pentadbiran bagi melicinkan lagi sistem pentadbiran yang sedia ada.

 
 
   
 
 
     
 
     
28 May 2017